Amazon MP3 Clips

Sabtu, 15 Mei 2010

communicable diseases

PENGENALAN

Chikungunya merupakan sejenis penyakit viral yang disebarkan menerusi jangkitan akibat daripada gigitan nyamuk Aedes yang turut membawa virus demam denggi dan demam kuning. Penyakit ini merupakan jangkitan melalui vektor di samping penyakit-penyakit demam yang lain seperti malaria, denggi dan filariasis. Setiap berlakunya penyakit ini adalah berpunca daripada nyamuk dan virusnya yang tersendiri yang disebarkan melalui gigitan nyamuk pada individu yang sihat. Namun, setakat ini chikungunya masih belum dikatakan bahawa terjadinya kematian atau pendarahan di Malaysia.

Antara contoh nyamuk dan virus bagi penyakit yang tergolong dalam jangkitan melalui vektor ini adalah ‘genus anopheles’ iaitu sejenis nyamuk tiruk yang menyebabkan berlakunya malaria manakala filariasis pula disebabkan oleh kehadiran Wuchereria broncrofti dan Brugia malayi.

Tempoh pengeraman virus bagi setiap penyakit ini adalah berbeza-beza mengikut kepada kekuatan virus tersebut. Oleh itu, bagi mengelakkan kita daripada dijangkiti penyakit-penyakit ini, kita mestilah mengutamakan kebersihan kawasan persekitaran dengan mengadakan aktiviti bersama keluarga dalam melakukan pembersihan kawasan kediaman. Hal ini adalah untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan bagi nyamuk-nyamuk Aedes.

DEFINISI

Chikungunya adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh alfavirus, bawaan daripada gigitan nyamuk betina iaitu Aedes albopictus atau Aedes aegypti. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi. Kedua-dua spesis nyamuk ini juga kebiasaanya menggigit pada siang hari, tetapi paling aktif pada awal pagi dan lewat petang. Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi) berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alfavirus). Di Malaysia, chikungunya tidak pernah dilaporkan sehingga boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Oleh itu bagi sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.

Kebanyakan pesakit mengalami gejala yang tidak berlarutan dan sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun terdapat sebahagian pesakit yang berumur lebih berisiko mengalami gejala sakit sendi yang berpanjangan daripada biasa. Apabila daya tahan tubuh mereka sudah lemah, virus chikungunya yang berada di dalam badan mereka boleh menyebabkan berlakunya komplikasi otak seperti demensia (sejenis penyakit otak), kelumpuhan dan gangguan ginjal. Perbezaan antara virus denggi dan virus chikungunya adalah virus denggi menyerang pembuluh darah manakala virus chikungunya menyerang sendi dan tulang. Virus chikungunya mengambil masa selama 3 hingga 12 hari untuk tempoh pengeraman tetapi pada kebiasaannya atau puratanya adalah di antara dari 3 hingga 7 hari sahaja. Demam chikungunya akut biasanya terjadi beberapa hari dan akan berlanjutan sehingga beberapa minggu lamanya.

EPIDEMIOLOGI

Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur yang berlaku pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik ini berlaku pula di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di Kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Sebanyak 148 kes yang melibatkan kematian iaitu secara langsung dan tidak langsung telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah lebih kurang 777,000 telah disahkan menghidap penyakit chikungunya disebabkan oleh virus itu.

Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara kita juga pernah dilaporkan sebanyak dua kali menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang yang melibatkan 27 mangsa iaitu majoritinya adalah pendatang asing.

Walau bagaimanapun, kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.



ETIOLOGI

Penyebab penyakit utama bagi chikungunya adalah berasal daripada sejenis virus, iaitu alphavirus dan disebarkan melalui nyamuk betina Aedes aegypti. Nyamuk yang sama juga menularkan kepada penyakit demam denggi berdarah. Walaupun penyakit ini bersamaan dengan demam denggi berdarah, namun ini tidak membawa kesan yang memudaratkan sehingga boleh mengakibatkan kematian. Penyakit chikungunya berlaku adalah disebabkan oleh sejenis virus yang disebut virus chikungunya di mana virus chikungunya ini tergolong dalam keluarga Togaviridae, genus alphavirus.

Di samping itu, nyamuk Aedes juga berkembang dan membiak di tempat penampungan air bersih samada di dalam rumah mahu pun di sekitar rumah seperti tab mandi, tempayan, pasu bunga, bekas-bekas minuman yang terdedah, tin-tin kosong yang berselerakan, pecahan botol kaca, timbunan tayar-tayar yang terbuang, saluran longkang rumah dan sebagainya.

Pada musim hujan pula lebih banyak lagi tempat-tempat yang menampung air terutamanya di bahagian atas bumbung rumah. Virus chikungunya juga berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Oleh itu pembiakan nyamuk boleh berkembang dengan cepat apabila terjadinya penakungan air samada bersih atau kotor di kawasan persekitaran kediaman kita.

PATOFISIOLOGI

Chikungunya berlaku adalah disebabkan oleh Virus Chikungunya atau dikenali juga sebagai CHIK Virus (CHIKV) yang berasal daripada keluarga alphavirus. Terdapat lebih kurang 27 jenis alphavirus yang menyebabkan terjadinya sesuatu rebakan penyakit itu kepada manusia atau mamalia yang lain. Virus chikungunya ini merupakan salah satu daripadanya. Di bawah klasifikasi virus, virus chikungunya merupakan kumpulan ke-5 iaitu dari keluarga Togaviridae dan gens Alphavirus. Ia terdiri daripada pelbagai virus dan kadang kala virus tersebut boleh muncul selepas berlakunya mutasi pada genetiknya. Struktur diameter bagi virus chikungunya adalah di antara 50 mm hingga 70 mm. Virus chikungunya mengandungi RNA iaitu berbentuk seperti utas benang yang bersifat positif dan terpisah antara satu sama lain.

KLASIFIKASI VIRUS CHIKUNGUNYA

Virus chikungunya ini atau dikenali juga sebagai alphavirus selalunya disebarkan melalui nyamuk dan ia dipanggil sebagai Arboviruses. Virus ini merupakan kumpulan ke-5 yang berasal daripada keluarga Togaviridae. Namun begitu, terdapat dua lagi keluarga iaitu Astroviridae dan Barnaviridae. Di bawah keluarga Togaviridae, terdapat

dua lagi jenis virus iaitu Alphavirus dan Rubyvirus. Ross River Virus, Sindbis Virus dan Chikungunya Virus adalah antara virus yang terletak dalam kumpulan Alphavirus.

KLINIKAL MANIFESTASI

Antara klinikal manifestasi yang dihidapi oleh seseorang apabila mendapat penyakit chikungunya ialah:

* Demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 °C selama 2- 4 hari

* Kesejukan dan menggigil

* Pucat

* Ruam (bintik-bintik kemerahan) pada kaki, tangan dan badan

* Anoreksia (kurang selera makan)

* Sakit kepala

* Mata merah dan sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya)

* Nausea dan muntah

* Arthritis atau arthralgia (sakit pada bahagian sendi) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali

* Rasa ngilu pada tulang

* Perut meragam



RAWATAN

Chikungunya adalah penyakit demam tinggi di mana suhu badan melebihi 39°C iaitu ia sama seperti demam denggi berdarah. Rawatan bagi chikungunya masih belum dapat ditemui lagi kerana ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya masih belum dijumpai.Tetapi cara untuk mengubati penyakit ini adalah dengan pemberian ubatan seperti :-

* Paracetamol iaitu ubat analgesik bertujuan untuk menurunkan suhu badan dan sebagai ubat penahan sakit

* Pemberian Anti-viral (7-10 hari)

* Pemberian vitamin

* Penggunaan ubat Chloroquine dipercayai boleh digunakan untuk merawati simptom-simptom seperti arthritis dengan kombinasi agen antiviral dalam rawatan jangkitan chikungunya

* Pemberian Chloroquine dengan dos 250 mg sehari memberi keputusan positif dan merawat simptom-simptom seperti arthritis pada jangkitan chikungunya

* Pesakit digalakkan untuk banyakkan pengambilan cecair jernih dan mendapatkan istirahat yang cukup.

* Banyakkan pengambilan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran

* Terapi homeopathy merupakan rawatan yang sangat berkesan untuk chikungunya.

Seperti denggi, tiada sebarang rawatan khusus untuk merawat jangkitan chikungunya. Demam denggi juga tidak mempunyai sebarang vaksin yang wujud untuk mencegah jangkitan virus tersebut. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya menunjukkan bahawa simptom-simptom seperti arthritis (akibat chikungunya) tidak mampu dirawati oleh Aspirin dan ubat-ubatan non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAID).

DIAGNOSIS

Antara ujian diagnosis yang boleh dilakukan untuk menentukan penyakit chikungunya adalah dengan cara:

* Ujian darah serologi

* Mengesahkan kehadiran imunoglobulin M dan G (IgM dan IgG) antibodi

kepada virus chikungunya. Virus chikungunya boleh diasingkan dari darah dalam tempoh beberapa hari pertama jangkitan.

* Membezakan samada seseorang itu mengidap denggi atau chikungunya kerana klinikal manifestasi kedua-duanya (denggi dan chikungunya) hampir sama. Tetapi, demam chikungunya tidak menyebabkan penurunan tahap platelet (tidak seperti denggi).


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara bagi mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. Antara langkah yang boleh diambil untuk menghindari penyakit ini adalah dengan membasmi tempat pembiakan nyamuk pembawa virus iaitu nyamuk Aedes. Nyamuk ini membiak di dalam takungan yang mengandungi air jernih dan biasanya berada di dalam rumah dan di sekeliling luar rumah. Hal ini termasuklah dengan memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk termasuklah:

CARA-CARA KAWALAN DI DALAM RUMAH

* Basuh tempayan dengan memberus sehingga bersih bagi setiap minggu sebelum mengisi air yang baru.

* Buang air daripada pinggan-pinggan alas pasu bunga yang bertakung seminggu sekali dan gosok sehingga bersih.

* Tutup semua bekas simpanan air dengan rapat.

* Masukkan garam sebanyak 2 sudu teh ke dalam perangkap semut.

* Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam takungan air 3 bulan sekali mengikut sukatan yang ditetapkan.

CARA-CARA KAWALAN DI LUAR RUMAH

* Tanam semua benda buruk atau terbuang iaitu bekas-bekas yang boleh menakung air hujan seperti botol, tin, plastik, tayar buruk dan sebagainya.

* Bersihkan saluran hujan pada bumbung rumah seminggu sekali.

* Tutup lubang salur udara, di tangki najis dengan jaringan untuk mencegah kemasukan nyamuk.

NURSING DIAGNOSIS DAN

NURSING INTERVENSI

1. Kulit yang sensitif berkaitan dengan gigitan nyamuk pembawa virus dibuktikan dengan ruam dan bintik-bintik kemerahan pada seluruh badan.

* Menasihati pesakit supaya menggunakan kelambu ketika tidur pada waktu malam.

* Memberitahu pesakit agar memakai pakaiaan yang berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan secara langsung ke atas kulit terhadap gigitan nyamuk Aedes.

* Sapukan krim repelen serangga yang disahkan selamat untuk digunakan pada kulit dan pakaian bagi mengelakkan gigitan nyamuk pada tubuh badan kita.

2. Kurang selera makan berkaitan dengan kadar metabolism badan yang rendah dibuktikan dengan penurunan berat badan pesakit.

* Monitor intake dan output pesakit (I/O Chart).

* Memberi blend diet atau makanan yang lembut seperti bubur kepada pesakit untuk menggalakkan pesakit makan.

* Menasihati pesakit supaya banyakkan mengambil makanan yang berfiber tinggi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

* Menggalakkan pesakit supaya banyakkan dalam pengambilan cecair jernih untuk mengelakkan kekeringan pada mulut.

3. Jangkitan dalam tubuh badan berkaitan dengan sistem immuniti badan yang berkurangan dibuktikan dengan pesakit mengalami demam yang tinggi sehingga suhu badan boleh mencecah 39 °C.

* Monitor vital signs pesakit iaitu suhu, denyutan nadi, kadar pernafasan dan tekanan darah.

* Melakukan tepid sponging kepada pesakit bertujuan untuk menurunkan suhu badan ke paras normal iaitu 37°C-37.5°C dengan meletakkan face flannel pada bahagian dahi, kedua-dua celah aksila dan kedua-dua celah femoral.

* Membuat cold compress atau demahan sejuk untuk mempercepatkan penurunan suhu badan yang tinggi.

* Pemberian ubatan seperti Paracetamol sebagai ubat penahan sakit dan juga berfungsi untuk menurunkan suhu.

4. Pembiakan nyamuk pembawa virus berkaitan dengan sistem pengaliran kumbahan yang tidak berfungsi dengan baik dibuktikan dengan kawasan persekitaran kediaman yang kurang bersih.

* Memberitahu pesakit supaya membersihkan kawasan rumah dan persekitaran agar bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk seperti nyamuk Aedes dengan cara melakukan aktiviti gotong-royong bersama keluarga.

* Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada sebarang pembiakan nyamuk pembawa virus seperti nyamuk Aedes.

* Pastikan kawasan kediaman tidak mempunyai takungan air samada daripada pasu-pasu dan tayar yang terbuang bagi mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit daripada virus yang disebarkan.

5. Hypothermia berkaitan dengan penurunan kadar metabolik dibuktikan dengan pesakit menggigil dan mengalami kesejukan yang melampau.

* Melakukan vital signs pesakit.

* Memberitahu pesakit supaya memakai pakaian yang tebal atau selimut tebal bagi memanaskan badan dengan berlakunya penghasilan haba.

* Memastikan pengudaraan persekitaran pesakit sesuai dengan keadaan pesakit seperti menutup suiz kipas atau tingkap bagi mengelakkan udara yang sejuk kepada pesakit.

* Memberi suasana yang tenang dan aman kepada pesakit yang mengalami masalah kesihatan supaya pesakit dapat berehat dengan secukupnya.

NURSING INTERVENSI

Antara nursing intervensi lain yang boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada jangkitan penyakit yang dibawa oleh nyamuk pembawa virus ialah:

* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap bagi mengelakkan kemasukan nyamuk ke dalam rumah.

* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga untuk memusnahkan nyamuk.

* Biarkan pengudaraan berlaku dengan baik sama ada dengan memasang kipas angin atau alat penghawa dingin di dalam rumah.

* Selain itu, pesakit akan diasingkan daripada individu yang sihat atau isolation dengan diletakkan di dalam sebuah bilik khas bagi seseorang yang menghidap penyakit berjangkit.

RUMUSAN

Jika seseorang itu mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit chikungunya, adalah dinasihatkan dengan segera untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat. Selain itu, kita juga boleh boleh melakukan pelbagai cara dalam menangani masalah pembiakan nyamuk Aedes. Antaranya ialah membuang tin-tin atau botol-botol kosong yang tidak digunakan lagi ke dalam tong sampah, membuang takungan air seperti di pasu bunga, tempayan dan sebagainya.

Untuk menggalakkan kesihatan yang baik dan meningkatkan kualiti kesihatan, kita mestilah menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi membasmi pembiakan dan perkembangan nyamuk pembawa virus seperti nyamuk Aedes.

Kita juga boleh menggunakan semburan nyamuk, atau ubat pembunuh jentik-jentik dengan memasukkanya ke dalam tempat takungan air mandi bagi membunuh dan menghapuskannya.

RUJUKAN

* http://paramedik.bbfr.net/chikungunya-h5.htm

* http://www.chikungunya.in/prevention-of-chikungunya-fever.shtml

* http://www.promosikesehatan.com/?act=news&id=39

* http://www.virologyj.com/content/5/1/33

* http://creativecommons.org/licenses/by/2.0